[Close x]

"SAYA PELUK ISLAM BUKAN KERANA PERKAHWINAN" - STACY


Oleh: EDITORIAL MH
Tarikh: 25 Ogos 2015

Alhamdulillah dan tahniah diucapkan kepada pelantun lagu 'Not For Sale', siapa lagi kalau bukan Stacy yang sebentar tadi mengumumkan secara rasmi mengenai dirinya kini telah memeluk Islam. Berlangsung di ibu pejabat Astro, Bukit Jalil, ruang bilik yang mempertemukan Stacy dan rakan-rakan media penuh dengan emosi.

Mengejutkan banyak pihak, Stacy mengakui bahawa dia sendiri memilih untuk merahsiakan mengenai pertukaran agama itu. Semalam, Stacy ditemani kedua-dua ibu bapanya untuk menjalankan prosedur memeluk Islam dan mengucap kalimah syahadah di Pejabat Agama Islam Johor Bahru. Selain ibu bapanya, juara AF6 itu turut ditemani kedua ibu bapa Akim.

Dikatakan memeluk Islam kerana ingin menamatkan zaman bujangnya bersama Akim Ahmad, Stacy menafikan kenyataan tersebut.

"Sebelum ini memang ramai yang tahu saya memang berkawan baik dengan Akim tetapi saya tidak ada sebarang perancangan dengan Akim. Ada orang cakap, saya memeluk Islam sebab nak kahwin. Tetapi, kalaulah disebabkan itu, baik saya peluk Islam apabila saya sudah hampir dengan perkahwinan. Tidak, kerana saya peluk Islam, memang kerana saya sendiri mahukan Islam.

"Kalau pun saya tiada jodoh dengan Akim atau sesiapa, tetapi saya pilih jalan ini tanpa ada kena mengena langsung dengan sesiapa. Dan saya meminta bantuan daripada ibu bapa Akim kerana mereka adalah orang banyak membantu dan banyak berkongsi mengenai ini," kata Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam.

VIDEO DAN GAMBAR TERSEBAR

Mengakui bahawa dia ingin merahsiakan dan menunggu waktu yang sesuai untuk membuat pengumuman, Stacy bagaimanapun meluahkan rasa tertekan apabila tersebarnya video dan gambar ketika dia sedang belajar untuk mengucap kalimah syahadah di hadapan pegawai agama islam terbabit.

"Ya, saya agak tertekan. Saya juga terkilan kerana pada awalnya, mereka meyakinkan saya bahawa segala apa yang berlaku, tidak akan disebarkan kepada orang awam. Namun begitu, apabila tersebarnya video dan gambar tersebut, saya yakin, orang dalaman juga yang bertanggungjawab menyebarkannya. Saya rasa seperti teraniaya," tambah Stacy lagi.

Kepada Stacy, semoga penghijrahan ini membawa sesuatu yang baik dan perjalanan Stacy sebagai seorang Muslim berjalan dengan lancar. Kami kongsikan video yang sempat dirakamkan di sesi sidang media semalam.


0 comments:

Post a Comment