[Close x]

Nahas Ketika Sesi Latihan, Pelumba Basikal Pelapis Negara Kini Kritikal

NUR Rozi terbabit dalam kemalangan dengan van pengiring pasukan di Lebuhraya SILK, pagi tadi.


KAJANG: Sebuah jawatankuasa siasatan dalaman akan ditubuhkan susulan nahas jalan raya membabitkan pelumba pelapis berbasikal lebuh raya wanita negara, Nur Rozi Yanti Mat Rodzi yang kini kritikal di Hospital Kajang. 

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata jawatankuasa yang akan turut dianggotai wakil daripada Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), akan melakukan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. 

"Pihak polis sudah menerima laporan berhubung kemalangan ini dan mereka juga akan melakukan siasatan bagi mengenal pasti puncanya," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat atlet berkenaan di Hospital Kajang hari ini. 

Pelumba kelahiran Perlis berusia 17 tahun itu terlibat dalam kemalangan dengan van pengiring pasukan di Km 19, Lebuhraya SILK pada kira-kira 9.45 pagi tadi. 

Nur Rozi ketika itu dilaporkan menjalani latihan rutin bersama beberapa pelumba lain. 

Ahmad Shapawi berkata, ibu bapa Nur Rozi sudah dimaklumkan mengenai kemalangan itu dan MSN akan menanggung segala kos rawatan atlet berkenaan. 

Laporan awal polis sebelum ini menyatakan Nur Rozi terjatuh daripada basikalnya ketika membetulkan kedudukan kakinya yang kebas sebelum dilanggar van pengiring itu. 

Ahmad Shapawi tidak menolak kemungkinan latihan rutin skuad pelapis lebuh raya negara akan diadakan di sekitar MSN buat sementara waktu sehingga siasatan mengenai nahas itu selesai. 

Jurulatih skuad pelapis negara, Su'od Hussain berkata kejadian itu adalah yang pertama sepanjang mengendalikan skuad berkenaan sejak 20 tahun lepas. 

"Kemalangan berlaku dalam sekelip mata. Keadaan jalan raya dan cuaca agak baik ketika itu," katanya. 

- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment